Translate

Selasa, 17 September 2013

CHIN PENG, NEGARAWAN..?

Dalam suasana ceria Negara menyambut sambutan bulan kemerdekaan yang ke 56 baru-baru ini, kemudian keceriaan tersebut ditambah dengan kesinambungan sambutan Hari Malaysia ke 50 (sempena penyertaan Sabah & Sarawak ke dalam Malaysia) pada 16 September, tiba-tiba kita dihidangkan dengan berita kematian Chin Peng.

Mulalah di laman-laman blog terpapar pelbagai andaian. Di kedai-kedai kopi terdengar cakap-cakap penganalisis-penganalisis tidak bertauliah memberikan hujah. Ada yang berpendapat kematian itu sememangnya dirancang, kerana kita semua maklum hayat Chin Peng hanya bergantung kepada mesin hayat sejak beberapa bulan lalu. Ada juga yang berpendapat ianya ketentuan Ilahi. Tidak kurang juga yang menganggap ia sebagai "hadiah sempena Hari Malaysia".

Dari segi reaksi, juga pelbagai. Ada yang menyatakan walaupun beliau seorang komunis, beliau tetap rakyat Malaysia. Mayat beliau wajar dibawa pulang dan dikebumikan disini. Tidak kurang yang menentang sehingga ada yang sanggup menyatakan kalau mayat Chin Peng dikebumikan di Malaysia, kubur beliau akan dikencing.

Apapun reaksi, pandangan dan pendapat, kerajaan telah memutuskan untuk tidak membenarkan mayat Chin Peng, walaupun abu mayat sekalipun untuk dibawa pulang dan dikebumikan disini. Syabas dan tahniah diucapkan kepada kerajaan dibawah kepimpinan YAB Dato' Seri Najib, sekali lagi beliau buktikan bahawa kerajaan serius serta tegas dalam soal mempertahankan maruah Negara. 

Chin Peng dianggap sebagai seorang yang Patriotik oleh sesetengah pihak. Pihak berkenaan menyatakan demikian dari perspektif ciptaan mereka sendiri dengan menyatakan bahawa Chin Peng hanya menggunakan komunis sebagai platfom untuk menuntut kemerdekaan. Beliaulah pejuang kemerdekaan sebenar. Terdapat juga cubaan pihak tertentu sebelum ini cuba mengenengahkan fakta yang kononnya Almarhum Tunku sebenarnya menyudahi apa yang telah dibuat oleh Chin Peng.  

Hari ini secara terang-terangan pihak berkenaan menyatakan sokongan mereka terhadap perjuangan Chin Peng. Malahan mereka dengan berani menerbitkan atau mencetak bahan-bahan sebagai publisiti keatas perjuangan Chin Peng. Tanpa segan silu, mereka juga meminta rakyat supaya melupakan sejarah perjuangan Tunku Abdul Rahman memperjuangkan kemerdekaan. 

Agak malang dan agak mengejutkan juga, publisiti murahan yang dicipta oleh kumpulan ini disahut, disambut, walaupun bukanlah dalam bilangan yang begitu ramai. Namun persoalan yang timbul, apakah rasionalnya perjuangan Chin Peng hingga golongan ini beria-ia mahu memperjuangkan nasib Chin Peng.

Bagi sebahagian besar rakyat Malaysia yang cintakan Negara ini, serta telah terdidik dengan sifat 'mengenang budi', maka sudah tentu Chin Peng tidak ada dalam memori mereka. Malah kalau ditanya kebanyakkan dari 'kita', bila nama Chin Peng disebut, reaksi pertama adalah memikir sejenak, dalam hati pasti berkata, "Chin Peng?. Oh, pejuang Komunis". Apatah lagi mereka yang lahir dari keluarga Askar Persekutuan Tanah Melayu atau Polis semasa zaman darurat, akan lebih keras dengusan didalam hati. Kadang-kadang kita boleh mendengar perkataan-perkataan yang terpancul keluar, "bangsat tu?, atuk aku mati pasal dia lah. Sial punya komunis". 

Sebenarnya, nama Chin peng tidak membawa sebarang erti kepada hampir keseluruhan rakyat Malaysia. malah ramai diantara rakyat yang tidak ingin mendengar nama itu disebut. Ramai juga yang tidak pernah menganggap Chin Peng adalah Rakyat Malaysia. Jadi kepada mereka yang teringin menggunakan Chin Peng bagi meraih populariti, elok lupakan sahaja hasrat itu, kerana perlu diketahui bahawa sebahagian besar rakyat, sangat benci kepada Chin Peng.


 




Tiada ulasan:

Catat Ulasan