Translate

Isnin, 2 Disember 2013

USTAZ KAZIM SEBAGAI MT, UMNO RAMPAS HAK PAS


Kecoh sehari dua ini apabila UMNO mahu melamar Ustaz Kazim Elias atau lebih dikenali dengan UKE sebagai Ahli MT UMNO. Yang hairannya selama kita mendengar ceramah beliau di sana-sini, tidak pernah sesiapapun yang ambil peduli mengenai status politik UKE. Malahan beberapa Pemimpin PAS sendiri sebelum ini pernah mengkritik beliau kerana isi ceramah yang sedikit pedas. Mungkin mereka termakan cili yang diberi oleh UKE.

Pelbagai pihak dari PAS mengeluarkan kenyataan dalam pelbagai versi. Dalam satu versi, PAS mempertahankan UKE sebagai Ahli PAS. Satu versi lain, PAS juga mendakwa bahawa UKE telah dipecat. Dalam satu versi lagi, PAS Perak mengatakan UKE adalah hak PAS. Bagi tuan punya diri pula, walaupun belum memuktamadkan keputusan untuk menerima tawaran tersebut, ia jelas mencerminkan keluhuran hati Presiden UMNO dalam perjuangan Bangsa dan Agama.

Malah kalu diikuti sidang Media UKE, berkali-kali beliau tegaskan bahawa beliau masih Ahli PAS. Walaupun ada kenyataan bahawa beliau telah dipecat, sehingga kini beliau masih belum menerima sebarang dokumen rasmi menyatakan bahawa beliau telah dipecat. Dalam sidang akhbar tersebut kalau diamati terdapat beberapa perkara yang dinyatakan oleh UKE. 


1. Mengakui bahawa dihubungi Presiden UMNO beberapa kali, "mohon" beliau berada dalam saf MT bagi 
    menasihati kerajaan dalam melaksanakan dasar berkaitan Islam dan kebajikan masyarakat Islam di 
    Negara ini, tarbiah Pemimpin UMNO seterusnya bantu UMNO mengembangkan syiar Islam.

2. Beliau masih belum membuat sebarang keputusan muktamad mengenai tawaran Presiden UMNO itu.

3. Tumpuan dan tugas utama beliau dalam MT adalah untuk menasihati dan berdakwah serta meningkatkan 
    kefahaman Islam dalam melaksana dasar kerajaan.

4. Secara peribadi beliau berpendapat, kesan berdakwah berbeza dan lebih baik apabila berada dalam saf       Kepimpinan pembuat Dasar berbanding hanya berdakwah dari luar sebagai pendakwah biasa. Oleh itu 
    semua pihak seharusnya lebih terbuaka mengenainya. 

5. Tawaran Presiden UMNO bukan atas dasar materealistik. Tiada sebarang tawaran material dari 
    kerajaan. Semua pihak harus melihat perkara itu demi kebaikan serta kepentingan agama bukan politik 
    semata-mata.

6. Sejak tersiarnya berita mengenai tawaran perlantikan itu, beliau serta keluarga terus menerus dimaki, 
    dicaci, dinista oleh penyokong-penyokong PAS melalui laman sosial, sehingga beliau serta keluarga 
    berada dalam keadaan tertekan, sedangkan selama ini PAS tidak pernah mempedulikan beliau.

7. Islam menuntut setiap perkara, terutama perkara baik seperti membantu meningkatkan syiar Islam, 
    sepatutnya diiringi dengan doa', bukan dengan cacian dan kata nista.

8. Beliau menegaskan bahawa beliau masih Ahli PAS, kerana tiada sebarang makluman rasmi dari pihak 
    PAS bahawa beliau telah dipecat atau beliau sendiri bertindak keluar parti dan perkara itu juga dalam  
    dalam pengetahuan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO .

9. PAS patut berasa malu, kerana selama ini UMNO membuka lebih banyak ruang kepada golongan 
    Agama seperti beliau berbanding PAS.


Mungkin kerana terlalu ramai golongan Ulama' dalam PAS, maka Pemimpin serta Ahli-Ahli PAS terlupa mereka memiliki seorang pendakwah hebat seperti UKE. Malah selama ini ramai para penyokong PAS tidak mahu menghadiri siri ceramah UKE. Mungkin kerana PAS lebih suka dengan beberapa lagi pendakwah bebas kerana ceramahnya lebih manis dan sedap serta disuaki ramai berbanding UKE yang lebih pedas dan pahit.

Saya masih ingat lagi semasa tempoh kempen di PRK Sungai Limau. PAS berusaha bersungguh membawa seorang lagi penceramah ternama hanya selang beberapa hari selepas UMNO menganjurkan satu Program Ceramah Agama bersama UKE. Seandainya kehadiran menjadi ukuran, program ceramah PAS itu lebih hebat kerana penceramah itu lebih popular dari UKE. Jadi apalah sangat dengan UKE. Kenapa PAS perlu rasa gusar dan kurang senang sekalipun UMNO ingin menculik,  mengambil atau merampas UKE yang dikatakan sebagai hak PAS.

Bagi UMNO pula yang sedar serta memahami kelemahan diri, khidmat insan Pendakwah hebat seperti UKE sangatlah diperlukan dalam usaha untuk memperbaiki dirinya. Mana mungkin UMNO layak untuk mendapatkan khidmat golongan Ulama' lain yang lebih hebat dan ternama dari dalam PAS. Hanya UKE sahaja insan yang berdakwah, ikhlas, begitu rendah diri serta begitu terbuka dalam soal syiar Islam, membuka ruang kepada UMNO sekaligus membolehkan UMNO mendekati beliau. Bagi UMNO pula, ibarat kata pepatah tidak dapat rotan, akar pun berguna. Oleh itu kepada Pemimpin serta para penyokong PAS, janganlah rasa gusar dengan lamaran UMNO itu. UMNO hanya ingin lamar seorang sahaja. Terima sahaja lamaran itu secara terbuka seperti mana terbukanya hati Ahli-Ahli dan Kepimpinan UMNO menrima UKE.

Sekian.

Ahmad Romzi,
2 Disember 2013


  










Tiada ulasan:

Catat Ulasan